THE IMAGE OF THE CITY (KUANTAN)
Daerah
Kuantan merupakan ibu negeri Pahang. Kini, Kuantan dikenali dengan mottonya
iaitu Kuantan Bandar Lestari. Lokasi Kuantan terletak di Pantai Timur
Semenanjung Malaysia di antara garis lintang 3° 49' 0" di utara dan garis
bujur 102° 20' 0" di timur. Di bahagian timur ialah Laut Cina Selatan
dengan panjang kawasan pantai 56 km (35 batu). Di sebelah barat ialah Daerah
Maran dan Jerantut, di utara ialah Negeri Terengganu dan di selatan ialah
Daerah Pekan. Laluan utama dari Kuala Lumpur ke Kuantan adalah dengan
menggunakan Lebuhraya Pantai Timur.
Untuk menuju ke Bandar Kuantan, laluan jalan yang
menghubungkan Kuantan dan Daerah Pekan
adalah Jalan Kuantan-Pekan yang mempunyai dua jalan iaitu melalui Masjid Kolej
Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (KIPSAS) di Batu 6 atau malalui jambatan
Tanjung Lumpur.
Di tengah-tengah Bandar Kuantan pula, jalan yang menjadi
tumpuan adalah Jalan Besar. Di sepanjang Jalan Gambut pula adalah merupakan
tumpuan penduduk yang berkunjung ke
pasar malam Bandar pada hari Sabtu dan laluan sepanjang Jalan Gambut itu akan
ditutup.Tempat yang menjadi mercutanda bagi daerah Kuantan adalah Taman Kerang.
Hal ini demikian kerana, Taman Kerang merupakan kawasan yang terkenal dengan
aktiviti “uptown”nya bermula 8.00 pagi
sehingga 1.00 tengah hari setiap hari. Ia juga merupakan tempat mencari rezeki
bagi peniaga-peniaga kecil dan peniaga-peniaga barangan antik seperti
jam,cincin dan sebagainya.
Di sebelah Taman Kerang adalah Padang Majlis
Perbandaran Kuantan 2 (MPK2) yang berhadapan dengan Masjid Negeri Pahang iaitu
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah. Padang MPK2 ini menjadi tumpuan penduduk terutama ketika bulan Ramadhan apabila tiba
waktu berbuka puasa. Seluruh padang akan dipenuhi dengan pengunjung yang
berbuka puasa dengan berlantaikan rumput dan berbumbungkan langit.
Disebelah
malam hujung minggu pula, kawasan yang menjadi tumpuan penduduk Kuantan
terutama muda-mudi adalah Taman Esplanade. Taman Esplanade merupakan taman
rekreasi yang terletak di sepanjang muara Sungai Kuantan. Kawasan ini juga
menjadi tempat kegemaran bagi kaki pancing setiap hujung minggu. Di sepanjang
laluan kaki lima muara sungai yang dikenali sebagai uptown esplanade, juga
menjadi tumpuan penduduk untuk mencuci mata. Suasana ini amat meriah terutama
pada malam minggu dan cuti persekolahan kerana ramai yang akan berkunjung di
uptown tersebut.
Di Taman Esplanade ini juga terdapat jeti yang dikenali
sebagai Jeti Shahbandar yang menawarkan perkhidmatan menyusuri sungai Kuantan
dan melihat kelip-kelip pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment